kakak nak balik bile?

“kakak nak balik bila?”, tanya anak kecil itu.


Saya menenung tepat ke dalam matanya. Redup matanya seperti menyembunyikan sesuatu yang sukar dilafazkan.


“Lepas buka puasa nanti, akak balik la. Kenape?”, tanya saya semula cuba menduga perasaannya.


“Tak de pape”, jawabnya tersenyum tawar.


“Kakak, dulu aina teringin sangat nak masuk asrama ni. Ingatkan best. Tapi bila datang sini, rasa tak seronok pula. Kawan kawan kat sini suka bergaduh. Tapi aina selalu ingat pesan mak, bersabar la, walau apapun orang buat kat aina. Allah kan ada” , kata kata dari anak kecil itu meluncur laju seakan akan menggoncang perasaan saya.


Aina, pribadinya lebih matang dari usianya sendiri. Baru berumur 8 tahun, tapi percakapan dan pemikiran jauh meninggalkan usianya.


Saya memerhatikannya mengambil baju sekolahnya. Kemudian masuk ke dalam bilik air yang serba daif itu. Perlahan lahan baju itu dibasuh sendiri.


Perasaan saya seperti ditusuk tusuk sembilu.


Teringat saya ketika berumur 8 tahun, segala galanya mama dan pembantu rumah yang uruskan. Dari membasuh pakaian, basuh kasut, gosok baju, kemaskan buku dan menyediakan keperluan saya.


Tanpa saya sedar, mutiara kepanasan jatuh satu persatu di pipi.


Subhanallah, betapa nikmat Allah pada saya sangat besar. DikurniaiNya hidup saya dengan kasih sayang yang melimpah ruah. Kasih sayang seorang ibu.


1% sahaja kasih sayang ibu itu berbanding kasih sayang Allah pada setiap hambaNya. Tetapi 1% kasih sayang itu pun saya rasakan lebih besar dari dunia dan seisinya. Apatah lagi kasih sayang Allah 99% lebih besar terhadap hamba hambaNya.


Tapi anak kecil itu tidak merasainya. Dia terpaksa ditinggalkan ibunya di rumah anak yatim itu lantaran kemiskinan. Ayahnya sudah tiada lagi. Hidupnya cukup berdikari. Dari membasuh baju, menjemur kain, mengemas buku, dan segala keperluan dirinya dilakukannya seorang diri tanpa bantuan sesiapa.


Saya tinggalkan Aina, dengan kucupan dan dakapan mesra. Saya berjanji padanya akan kembali menjejakkan kaki ke Rumah Anak Yatim Bait Al Amin ini lagi.


Dia tersenyum lebar mendengarkannya.


Senyuman itu masih lagi terukir di ingatan saya.


Tak mampu untuk saya lupakan.


Senyuman seorang anak kecil yang mendambakan kasih sayang.


Ingatlah duhai adik, DIA sangat menyayangimu..


Begitu juga aku...


0 comments: