sabar dan redha

Ujian Allah itu sentiasa akan hadir pada hambaNya kerana Allah telah berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 155 dan 156


“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang orang yang sabar, (yaitu) orang orang yang apabila di timpa musibah mereka berkata innalillahi wa inna ilaihi rajiun (sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya lah kami kembali)”.


Dan natijah dari kesabaran itu, Allah berfirman dalam ayat berikutnya,


“Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah orang orang yang mendapat petunjuk”.


Benarlah ya Allah, bahawa kami adalah milikMu dan kepadaMu lah kami kembali. Ujian dan musibah apa pun yang berlaku kita sebagai hamba Allah sepatutnya redha dan bersangka baik pada Allah. Kerana Allah telah berfirman dalam surah,


Al-Baqarah ayat 216,


“Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu,padahal itu baik bagimu,dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagimu”.


Sabda Rasulullah SAW:


" Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah suatu kebaikan (keuntungan), maka diberinya ia penderitaan."
(Bukhari dari Abu Hurairah)


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


`Uqbah bin Abi Mu'aith, salah seorang pengikut Abu Jahal adalah orang yang paling banyak menyakiti Rasulullah SAW. Pada suatu hari, Abu Jahal mendesak para pengikutnya agar melakukan sesuatu yang boleh menyakiti baginda.


"Mengapa kamu mendiamkan saja najis unta si Fulan?" kata Abu Jahal.


Mendengar sindiran Abu Jahal itu, `Uqbah bin Abi Mu'aith segera bangun mengambil segenggam najis unta yang kemudian dicampakkan kepada Rasulullah SAW yang kebetulan pada waktu itu sedang sujud di depan Ka'bah. Tetapi perbuatan kejam itu tidak dihiraukan oleh Nabi SAW. Baginda tetap bersujud dengan khusyu' mengadap Allah SWT. Apabila Fatimah mengetahui peristiwa tersebut, ia segera datang menghampiri ayahnya dan membersihkan najis yang bergelumang di seluruh tubuh ayahnya itu. Penghinaan `Uqbah ini tetap dihadapi dengan sabar dan tawakkal kepada Allah.


Subhanallah, tidak sebesar mana pun ujian Allah kepada kita berbanding ujian Allah pada Rasullullah. Hanya dikecewakan dengan sedikit keputusan yang tidak seperti yang diinginkan.


Allah berfirman di dalam al-Qur'an:

" Sesungguhnya, Allah bersama orang-orang yang sabar. "
(al-Baqarah:153)


Menurut Rasulullah SAW, ada empat jenis sabar iaitu:


i.Sabar menanggung beratnya melaksanakan kewajipan. Kewajipan di dalam Islam itu ada banyak sekali seperti kewajipan mengerjakan solat lima waktu, membayar zakat, menunaikan haji apabila mampu, berpuasa di bulan Ramadhan, berjihad dan lain-lain lagi. Bagi mu'min yang sabar, betapa berat sekali pun kewajipan itu, tetap dilaksanakannya denan hati yang ikhlas semata-mata mengharapkan keredhaan Allah, tanpa peduli dalam keadaan sakit, melarat atau sibuk. Orang yang sabar melaksanakan kewajipan bererti mendapat taufiq atau pertolongan dari Allah.


ii.Sabar menanggung musibah atau ujian. Terdapat pelbagai ujian yang silih berganti menimpa orang mu'min. Namun, jika mu'min itu bersabar menanggung musibah dan ujian disertai tawakkal kepada Allah, pasti jalan menuju kebahagiaan akan terbuka luas. Orang yang sabar menanggung musibah pasti memperolehi pahala yang besar dari Allah.


iii.Sabar menahan kezaliman orang terhadap dirinya. Di akhir zaman kini, kezaliman telah berleluasa menguasai umat Islam di mana-mana bahagian dunia ini. Terdapat banyak kezaliman yang dikenakan ke atas orang-orang mu'min yang ingin menegakkan keadilan dan kebenaran. Tetapi bagi mu'min yang sabar menahan kezaliman orang demi untuk melihat tertegaknya keadilan dan kebenaran, pasti dia termasuk di kalangan orang-orang yang dicintai Allah SWT.


iv.Sabar menanggung kemiskinan dan kepapaan. Banyak berlaku orang-orang yang diliputi kemiskinan akhirnya menjadi putus asa. Ada yang mengambil jalan mudah tanpa mempedulikan arahan agama dengan melakukan pekerjaan haram seperti merompak, mencuri, memeras-ugut, menipu dan lain-lain lagi. Ada pula yang menjadikan pekerjaan mengemis sebagai kariernya dan meminta sedekah setiap hari, tanpa ada usaha untuk bekerja kerana di dalam jiwanya telah diliputi rasa putus asa dan kecewa. Sebaliknya, mu'min yang sabar menanggung kemiskinan dan kepapaan dengan cara qanaah (cukup) dengan apa yang didapatinya dari pemberian Allah serta mensyukurinya, maka dia adalah orang yang kehidupannya sentiasa dilimpahi keredhaan dari Allah SWT.


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Di dalam sebuah riwayat diceritakan bahawa pada zaman Rasulullah SAW, terdapat seorang isteri sahabat yang sangat sabar. Beliau ialah Ummi Sulaim isteri Abu Talhah. Mereka berdua mempunyai seorang anak yang sangat dikasihi. Pada suatu hari ketika Abu Talhah sedang berpergian, anaknya yang sedang sakit itu meninggal dunia. Pada hari Abu Talhah kembali ke rumah, beliau terus bertanya keadaan anaknya, tetapi Ummi Sulaim menyatakan bahawa anaknya telah sihat. Ia pun menyuruh suaminya makan dan setelah itu mereka pun tidur bersama. Selepas itu, barulah Ummi Sulaim menyusun kata-kata untuk memberitahu suaminya keadaan sebenar anak mereka.


Berkata Ummi Sulaim:


"Wahai Abu Talhah, bagaimanakah pendapatmu jika seseorang meminjamkan sesuatu kepada sebuah keluarga, tiba-tiba diminta kembali. Apakah keluarga yang meminjam itu berhak menolaknya?"


Abu Talhah menjawab: "Tidak boleh."


Ummi Sulaim pun berkata: "Kalau begitu, relakanlah puteramu kepada Allah."


Abu Talhah merasa marah kerana isterinya tidak memberitahu perkara sebenar itu terlebih dahulu. Keesokan harinya beliau pergi bertemu Rasulullah SAW untuk menyampaikan berita tersebut.


Sesampainya kepada Rasulullah SAW, baginda pun menegurnya: "Hai Abu Talhah, berpengantinkah kamu semalam?"


Jawab Abu Talhah: "Benar, ya Rasulullah."


Baginda bersabda: "Semoga Allah memberkati kamu berdua."


Mengikut tradisi jahiliyah, apabila seseorang anggota keluarga yang disayangi meninggal dunia, seperti anak misalnya, lalu yang masih hidup di antara mereka akan mengalami tekanan jiwa terutamanya si ibu yang kurang daya tahan diri. Biasanya, oleh kerana terlalu sedih, ibu itu akan meronta-ronta sambil menangis semahu-mahunya, bahkan kadang-kadang melakukan perbuatan yang dilarang syara' seperti merobek-robek pakaian, mencakar muka dengan kuku sendiri dan lain-lain lagi. Biasanya, perbuatan sedemikian dilakukan oleh orang-orang yang belum mengetahui hakikat sebenar faedah dan manfaat ujian Allah. Akibatnya, mereka tidak dapat menahan kesabaran.



0 comments: